• Utama
  • HUBUNGI KAMI
  • Soalan Lazim

Soalan Lazim

PEMBANGUNAN TANAH

Soalan
Bolehkah permohonan pembangunan tanah dibuat sekiranya tarikh sah Perintah Pembangunan telah luput?

Jawapan :
Tidak. Pemohon mestilah mendapatkan perlanjutan tempoh Perintah Pembangunan sebelum mengemukakan
permohonan pembangunan tanah di Jabatan ini.

PENGURUSAN TANAH

Soalan
Sekiranya seseorang pemohon diluluskan pemberimilikan tanah kerajaan dan dikehendaki membayar
premium dalam tempoh 3 bulan daripada surat di terima tetapi tidak dapat menjelaskan bayaran berkenaan
dalam tempoh yang ditetapkan, bolehkah pemohon merayu melanjutkan tempoh bayaran tersebut?

Jawapan :
Boleh merayu melanjutkan tempoh bayaran dengan syarat hanya akan diberi pertimbangan jika permohonan
di kemukakan sebelum tempoh tarikh Borang 5A luput. Permohonan dianggap terbatal jika 5A tidak dijelaskan dan
rayuan tidak dikemukakan dalam tempoh tersebut. Jika masih berminat,pemohon perlu mengemukakan permohonan
baru (Borang Jadual 1) untuk diberi pertimbangan semula.

Soalan
Bagaimanakah caranya untuk memanjangkan tempoh pajakan hakmilik tanah kepada 99 tahun ataupun
tempoh tertentu sekiranya hakmilik tanah sedia ada hanya mempunyai baki tempoh pajakan yang hampir luput?

Jawapan :
Sebenarnya tiada istilah lanjut tempoh dalam undang-undang tanah .Proses yang ada hanya dengan membuat penyerahan
balik dibawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara dan memohon untuk diberimilik semula di bawah Seksyen 42 (1) (a) KTN
dimana tempoh pajakannya ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Soalan
Bagaimanakah untuk mendapatkan semula tanah yang telah luput tempoh pajakan?

Jawapan :

Bagi tanah milik yang telah luput tempoh pajakan, permohonan baru ( menggunakan Borang Jadual 1) perlu dikemukakan
ke Pejabat Tanah di daerah dimana tanah tersebut berada untuk diberi pertimbangan semula.

Soalan
Siapakah yang boleh memohon tanah milik yang telah luput tempoh pajakan dan pemilik asalnya telah meninggal
dunia?

Jawapan :
Sesiapa sahaja yang dinyatakan di bawah Seksyen 43 Kanun Tanah Negara(KTN) boleh memohon dan dipertimbangankan.
Walaubagaimanapun, keutamaan akan diberi kepada waris-waris pemilik asal, jika ada permohonan.

HAKMILIK STRATA

Soalan
Apakah yang dimaksudkan dengan hakmilik strata?

Jawapan :
Hakmilik strata ialah suatu hakmilik yang dikeluarkan untuk setiap petak di dalam bangunan yang berbilang tingkat dan juga
hakmilik yang dikeluarkan kepada petak-petak tanah dalam skim komuniti berpagar.

Soalan

Kenapa hakmilik strata diperlukan?

Jawapan :
Hakmilik strata diperlukan bagi menjamin kepentingan setiap pemilik petak dan memudahkan urusniaga terhadap petak
berkenaan seperti pindahmilik, gadaian, cagaran, pembahagian pusaka dan sebagainya.

Soalan
Siapakah yang patut memohon hakmilik strata?

Jawapan :
Pemilik tanah adalah orang yang bertanggungjawab untuk membuat permohonan untuk mendapatkan hakmilik strata.

Soalan
Bilakah permohonan hakmilik strata patut dibuat oleh pemilik tanah?

Jawapan :
Pemilik tanah diwajibkan membuat permohonan hakmilik strata dalam tempoh yang ditetapkan JIKA beliau telah menjual
mana-mana petak dalam bangunan berbilang tingkat atau tanah. Tempoh yang dimaksudkan adalah:

6 bulan dari tarikh perjanjian jualbeli pertama atau 6 bulan dari tarikh Certificate of Completion and Compliande (CCC)
dikeluarkan mengikut mana yang terkemudian.

Soalan
Jika pemilik tanah enggan membuat permohonan hakmilik strata, apakah kesannya?

Jawapan :
Jika pemilik tanah gagal membuat permohonan untuk mendapatkan hakmilik strata adalah melakukan perlanggaran
Seksyen 8 (7) Akta Hakmilik Strata 1985 dan jika disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000.00 tetapi
tidak lebih daripada RM100,000.00 dan didenda selanjutnya tidak kurang daripada RM100.00 tetapi tidak lebih daripada
RM1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus berlaku.

Soalan
Di mana dan bagaimanakah permohonan hakmilik strata boleh dibuat?

Jawapan :
Permohonan yang lengkap hendaklah dihantar terus kepada Bahagian Hakmilik Strata, Pejabat Pengarah Tanah dan
Galian Negeri Perak dengan disertakan bayaran dan dokumen-dokumen seperti disenarai semak.

Soalan :
Siapakah yang bertanggungjawab mengawalselia pengurusan dan penyelenggaraan bangunan serta
perjalanan Perbadanan Pengurusan?

Jawapan :
Pesuruhjaya Bangunan (COB) adalah merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengawalselia pengurusan
dan penyelenggaraan bangunan serta perjalanan Perbadanan Pengurusan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam
Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) Akta 663.

PUSAKA KECIL

Soalan
Perlukah bahagian penyaksian disempurnakan sekiranya cop mohor diturunkan?
Jawapan :
Ruangan penyaksian tidak perlu dilengkapkan sekiranya terdapat cop mohor syarikat pada borang suratcara.

PENGAMBILAN TANAH

Soalan
Di dalam Borang H ada disebutkan tentang penahanan bayaran pampasan sebanyak 25%. Jadi saya
inginkan penjelasan mengenainya. Dalam keadaan manakah penahanan tersebut berlaku dan adakah
pampasan untuk saya juga ditahan sebanyak itu?

Jawapan :
Penahanan pampasan sebanyak itu 25% akan dibuat sekiranya ada bantahan daripada pihak yang memohon
pengambilan untuk projek tersebut. Contohnya bagi projek lebuhraya, kalau ada bantahan daripada LLM,
pembayaran pampasan akan ditahan sebanyak 25% .

Bahagian Hasil

  1. Di manakah saya boleh dapatkan Bil Hasil Tanah jika saya tidak menerimanya?

Pemilik Tanah Berdaftar boleh mendapatkan Bil Hasil Tanah di mana-mana Pejabat Daerah & Tanah Negeri Perak
dengan mengemukakan maklumat seperti Nombor Hakmilik dan Nombor Lot.

  1. Kenapa saya tidak boleh menukarkan alamat di Bil Hasil Tanah?

Sebarang penukaran alamat hendaklah dibuat di atas geran sahaja. Pemilik tanah berdaftar hendaklah mengisi
Borang 26A Perubahan Alamat dan menghubungi Bahagian Pendaftaran Hakmilik Pejabat Tanah & Galian atau
Pejabat Daerah & Tanah dimana hartanah pemilik berada untuk urusan tersebut.

  1. Adakah saya perlu membayar Bil Hasil Tanah sedangkan saya tidak pernah mendapat bil?

Menurut Seksyen 93, Kanun Tanah Negara 1965, pemilik tanah berdaftar adalah bertanggungjawab untuk
menyelesaikan cukai tanah yang dimilikinya tanpa gagal.

  1. Dimanakah saya boleh membayar Bil Hasil Tanah?

Bil Hasil Tanah boleh dibayar di mana-mana kaunter Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Perak, UTC Ipoh dan
di semua Pejabat Pos seluruh Perak (tunai sahaja). Bil Hasil Tanah juga boleh dibayar secara perbankan internet
melalui bank-bank terpilih (sila rujuk Bil untuk maklumat bank)

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.